E-hailing



Pemandu teksi dan e-hailing (e-panggilan) yang memenuhi syarat memohon Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing), boleh mendaftar di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (eHO) yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bermula 1 April 2019.

Menurut JPJ, pelaksanaan itu membabitkan pemandu dan kenderaan e-hailing yang bertindak sebagai kenderaan perkhidmatan awam.

Pemandu kenderaan e-hailing adalah setara pemandu teksi, kereta sewa dan teksi mewah, justeru mereka juga perlu memiliki Lesen PSV–Teksi/E-hailing seperti yang termaktub bawah Seksyen 56 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Melalui akta ini, syarikat e-hailing mesti berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dahulunya dikenali sebagai SPAD sebagai perniagaan pengantaraan dan perlu membayar yuran yang ditetapkan.

Syarat yang dikenakan kepada industri e-hailing adalah selari dengan industri teksi dari segi syarat kelayakan, permohonan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan operasi, bagi memberikan kesaksamaan kepada industri teksi.

Dari segi syarat kelayakan permohonan lesen, syarikat e-hailing juga perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membabitkan 10 syarikat e-hailing di Malaysia ketika ini diantaranya Grab, MyCar, Dacsee dan lain-lain lagi.

Dari segi syarat kenderaan, ia terbuka kepada semua jenama yang mempunyai sekurang-kurangnya taraf tiga bintang tahap piawaian Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN CAP) atau setara dengannya dan menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sekali setahun apabila kenderaan didaftarkan itu melebihi usia tiga tahun dari tarikh pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perlu menjalani pemeriksaan awalan terpakai di PUSPAKOM sebelum melakukan penukaran kod kegunaan di JPJ.

Kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing berusia kurang tiga tahun, perlu menjalani proses tukar kegunaan daripada Kenderaan Persendirian Individu kepada Kenderaan Persendirian e-hailing selaras peruntukan bawah Seksyen 12(2), Seksyen 12(3) dan Seksyen 12(4) APJ 1987. 

Bagi syarat kelayakan pemandu, syarat permohonan adalah sama dengan syarat permohonan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan ditambah baik dengan saringan rekod jenayah serta perlu turut memberi perlindungan bagi pemandu, penumpang dan pihak ketiga bagi memenuhi syarat operasi

Keseragaman Pemandu kenderaan e-hailing dan indstri pengankutan teksi dapat dilihat melalui:-

1. Lesen memandu kelas D Penuh
2. Caruman PERKESO
3. Lesen PSV
4. Pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM
5. Polisi insuran kepada penumpang
6.Pemeriksaan sekali dalam setahun di PUSPAKOM/Meter teksi sebelum ini 6 bulan sekali

Modul latihan bagi Lesen PSV–Teksi/E-hailing ini ialah selama enam jam dengan kadar yuran siling ditetapkan kerajaan sebanyak RM200. Modul latihan ini boleh dilaksanakan oleh mana-mana Perniagaaan Pengantaraan, syarikat teksi, institut memandu atau penyedia latihan yang ditauliah APAD.

Lesen fizikal hanya akan dikeluarkan dan dicetak kepada pemandu yang berjaya dilesenkan.

Bagi pemandu teksi sedia ada yang sudah dilesenkan dengan Lesen PSV–Teksi sebelum ini pula, lesen mereka akan dikemas kini dengan bentuk fizikal baharu ketika pembaharuan lesen PSV dibuat.

Permohonan boleh dikemukakan oleh pemandu e-hailing atau pembawa dokumen di mana-mana pejabat JPJ negeri dan cawangan di seluruh negeri  kecuali Pusat Transformasi Bandar UTC, bermula 1 April 2019, dengan membawa bersama beberapa dokumen sokongan.

Antara dokumen itu ialah :-

1.Borang JPJK8 (Pind.1/2016) – Borang Pindaan/Pembetulan Butir Kenderaan dan Pemilik Berdaftar Seksyen 12 APJ 1987; 

2.Borang Pengisytiharan Kenderaan Persendirian e-hailing (JPJ-EH1); maklumat laporan pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) (VR1) dan 

3.Borang pengesahan e-hailing.

Kadar yuran bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan persendirian e-hailing setakat ini masih kekal seperti kenderaan persendirian individu, iaitu mengikut kuasa enjin (cc) kenderaan, termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Pautan dibawah mungkin berguna bagi anda menyemak harga road untuk negeri Sabah

https://www.mywilayah.com/2019/02/harga-roadtax-repost.html

Semua kenderaan persendirian e-hailing perlu melekatkan pelekat khas kenderaan e-hailing yang akan dikeluarkan pihak eHO seperti ditetapkan oleh JPJ.

Pemeriksaan itu boleh dilakukan di 56 cawangan PUSPAKOM seluruh negara dan lapan kenderaan bergerak PUSPAKOM yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bagi kenderaan e-hailing.
Untuk mengakses senarai cawangan PUSPAKOM di setiap negeri. 
Sila layari pautan dibawah;-

http://www.puspakom.com.my/branches/?lang=ms

Peraturan dan garis panduan ini bertujuan memberi perlindungan keselamatan kepada pemandu dan penumpang serta pihak ketiga terhadap sebarang risiko tidak diingini.

Berikutan rungutan pemandu e-hailing mengenai ketidakadilan oleh syarikat yang menekan pemandu dengan mengenakan kadar komisen sehingga 25 peratus, kerajaan menetapkan dalam syarat lesen bahawa kadar komisen maksimum dikenakan adalah 10 peratus bagi perkhidmatan e-hailing oleh pemandu teksi dan 25 peratus bagi kenderaan persendirian.

Bagi melindungi kebajikan pemandu, syarikat e-hailing dikehendaki menyediakan Kod Tatakelakuan dan Garis Panduan Rungutan Pemandu.

Justeru, apa-apa pertikaian atau rungutan oleh pemandu boleh diselesaikan melalui mekanisme yang ditetapkan dan jika syarikat tidak mahu mendengar, ia akan memberi kesan kepada lesen mereka sama ada di gantung atau di batalkan.

Untuk keselamatan pemandu pula, penumpang dikehendaki memuat naik maklumat kad pengenalan atau pasport yang sah semasa pendaftaran, selain setiap aplikasi e-hailing pemandu serta penumpang perlu mempunyai fungsi kecemasan SOS/999 bagi melaporkan sebarang kecemasan semasa perkhidmatan berjalan.

Pemandu teksi yang ingin menyertai industri e-hailing akan diberikan bantuan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membeli kenderaan baharu atau terpakai.

Pada masa sama, dasar sedia ada diteruskan di mana pemandu teksi yang sudah tamat tempoh kontrak pajak dengan syarikat teksi juga diberikan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membeli teksi baharu jika mereka berhasrat untuk kekal sebagai pemandu teksi dengan menggunakan lesen teksi individu.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengangkutan juga sedang mengkaji risiko monopoli perkhidmatan e-hailing selepas penggabungan Grab dan Uber melalui Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC).

Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan ke atas pemandu dan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, bermula 12 Julai depan seperti diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Sumber: Berita Harian, Harian Metro & Penulis sendiri.

Post a Comment